*~Jiilul Quran~*

Monday, September 27, 2010

~*Biarlah Rahsia, Kerana Rahsiaku RahsiaNYA*~

PhotobucketHari-hari berlalu yang dilewati seakan sudah bertahun lamanya, namun yang perlu diakui ialah ianya baru beberapa minggu lalu.

Iya, hanya beberapa minggu lalu. Berita itu aku sambut dengan hati yang diusahakan untuk berlapang dada.

Benar, aku berusaha berlapang dada. Terkadang, terasa nusrah Ilahi begitu hampir saat kita benar-benar berada di tepi tebing, tunggu saat untuk menjunam jatuh ke dalam gaung. Maha Suci Allah yang mengangkat aku, meletakkan aku kembali di jalan tarbiyyah dan terus memimpin untukku melangkah dengan tabah.

Aku hanya seorang Insyirah. Tiada kelebihan yang teristimewa, tidak juga punya apa-apa yang begitu menonjol. Jalan ku juga dua kaki, lihat ku juga menggunakan mata, sama seperti manusia lain yang menumpang di bumi Allah ini.

Aku tidak buta, tidak juga tuli mahupun bisu. Aku bisa melihat dengan sepasang mata pinjaman Allah, aku bisa mendengar dengan sepasang telinga pinjaman Allah juga aku bisa bercakap dengan lidahku yang lembut tidak bertulang. Sama seperti manusia lain.

Aku bukan seperti bondanya Syeikh Qadir al-Jailani, aku juga tidak sehebat srikandi Sayyidah Khadijah dalam berbakti, aku bukan sebaik Sayyidah Fatimah yang setia menjadi pengiring ayahanda dalam setiap langkah perjuangan memartabatkan Islam.

Aku hanya seorang Insyirah yang sedang mengembara di bumi Tuhan, jalanku kelak juga sama... Negeri Barzakh, insya Allah. Destinasi aku juga sama seperti kalian, Negeri Abadi. Tiada keraguan dalam perkara ini.


Sejak dari hari istimewa tersebut, ramai sahabiah yang memuji wajahku berseri dan mereka yakin benar aku sudah dikhitbah (bertunang) apabila melihat kedua tangan ku memakai cincin di jari manis. Aku hanya tersenyum, tidak mengiyakan dan tidak pula menidakkan. Diam ku bukan membuka pintu-pintu soalan yang maha banyak, tetapi diam ku kerana aku belum mampu memperkenalkan insan itu. Sehingga kini, aku tetap setia dalam penantian.

Ibu bertanyakan soalan yang sewajarnya aku jawab dengan penuh tatasusila.

"Hari menikah nanti nak pakai baju warna apa?"

Aku menjawab tenang..

"Warna putih, bersih..."

"Alhamdulillah, ibu akan usahakan dalam tempoh terdekat."

"Ibu, 4 meter sudah cukup untuk sepasang jubah. Jangan berlebihan."

Ibu angguk perlahan.


Beberapa hari ini, aku menyelak satu per satu... helaian demi helaian naskhah yang begitu menyentuh sanubari aku sebagai hamba Allah.

”Malam Pertama...” Sukar sekali aku ungkapkan perasaan yang bersarang, mahu saja aku menangis semahunya tetapi sudah aku ikrarkan, biarlah Allah juga yang menetapkan tarikhnya kerana aku akan sabar menanti hari bahagia tersebut. Mudah-mudahan aku terus melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Mudah-mudahan ya Allah.

Sejak hari pertunangan itu, aku semakin banyak mengulang al-Quran.

Aku mahu sebelum tibanya hari yang aku nantikan itu, aku sudah khatam al-Quran, setidak-tidaknya nanti hatiku akan tenang dengan kalamullah yang sudah meresap ke dalam darah yang mengalir dalam tubuh. Mudah-mudahan aku tenang... As-Syifa' aku adalah al-Quran, yang setia menemani dalam resah aku menanti. Benar, aku sedang memujuk gelora hati. Mahu pecah jantung menanti detik pernikahan tersebut, begini rasanya orang-orang yang mendahului.

"Kak Insyirah, siapa tunang akak? Mesti hebat orangnya. Kacak tak?"

Aku tersenyum, mengulum sendiri setiap rasa yang singgah. Maaf, aku masih mahu merahsiakan tentang perkara itu. Cukup mereka membuat penilaian sendiri bahawa aku sudah bertunang, kebenarannya itu antara aku dan keluarga.

"Insya Allah, 'dia' tiada rupa tetapi sangat mendekatkan akak dengan Allah. Itu yang paling utama."

Berita itu juga membuatkan beberapa orang menjauhkan diri dariku. Kata mereka, aku senyapkan sesuatu yang perlu diraikan. Aku tersenyum lagi.

"Jangan lupa jemput ana di hari menikahnya, jangan lupa!"

Aku hanya tersenyum entah sekian kalinya. Apa yang mampu aku zahirkan ialah senyuman dan terus tersenyum. Mereka mengandai aku sedang berbahagia apabila sudah dikhitbahkan dengan 'dia' yang mendekatkan aku dengan Allah.

Sahabiah juga merasa kehilangan ku apabila setiap waktu terluang aku habiskan masa dengan as-Syifa' ku al-Quran, tidak lain kerana aku mahu kalamullah meresap dalam darahku, agar ketenangan akan menyelinap dalam setiap derap nafas ku menanti hari itu.

"Bila enti menikah?"

Aku tiada jawapan khusus.

"Insya Allah, tiba waktunya nanti enti akan tahu..."

Aku masih menyimpan tarikh keramat itu, bukan aku sengaja tetapi memang benar aku sendiri tidak tahu bila tarikhnya.

"Jemput ana tau!"

Khalilah tersenyum megah.

"Kalau enti tak datang pun ana tak berkecil hati, doakan ana banyak-banyak! "Itu saja pesanku. Aku juga tidak tahu di mana mahu melangsungkan pernikahan ku, aduh semuanya menjadi tanda tanya sendiri. Diam dan terus berdiam membuatkan ramai insan berkecil hati.


"Insya Allah, kalian PASTI akan tahu bila sampai waktunya nanti..."


Rahsia ku adalah rahsia Allah, kerana itu aku tidak mampu memberikan tarikhnya.


Cuma, hanya termampu aku menyiapkan diri sebaiknya. Untung aku dilamar dan dikhitbah dahulu tanpa menikah secara terkejut seperti orang lain. Semuanya aku sedaya upaya siapkan, baju menikahnya, dan aku katakan sekali lagi kepada ibu...

"Usah berlebihan ya..."

Ibu angguk perlahan dan terus berlalu, hilang dari pandangan mata.


"Insyirah, jom makan!"

Aku tersenyum lagi... Akhir-akhir ini aku begitu pemurah dengan senyuman.

"Tafaddal, ana puasa."

Sahabiah juga semakin galak mengusik.

"Wah, Insyirah diet ya. Maklumlah hari bahagia dah dekat... Tarikhnya tak tetap lagi ke?"

"Bukan diet, mahu mengosongkan perut. Maaf, tarikhnya belum ditetapkan lagi."


Sehingga kini, aku tidak tahu bila tarikhnya yang pasti. Maafkan aku sahabat, bersabarlah menanti hari tersebut. Aku juga menanti dengan penuh debaran, moga aku bersedia untuk hari pernikahan tersebut dan terus mengecap bahagia sepanjang alam berumahtangga kelak. Doakan aku, itu sahaja.

Siapakah pemberi itu? Apakah tandanya?

 "innalillahi wainna ilaihi rajiun..."

"Tenangnya.. . Subhanallah. Allahuakbar. "

"Ya Allah, tenangnya... "

"Moga Allah memberkatinya. ..."


Allah, itu suara sahabat-sahabat ku, teman-teman seperjuangan aku pada ibu.


Akhirnya, aku selamat dinikahkan setelah sabar dalam penantian. Sahabiah ramai yang datang di majlis walimah walaupun aku tidak menjemput sendiri.

Akhirnya, mereka ketahui sosok 'dia' yang mendekatkan aku kepada Allah.

Akhirnya, mereka kenali sosok 'dia' yang aku rahsiakan dari pengetahuan umum.

Akhirnya, mereka sama-sama mengambil 'ibrah dari sosok 'dia' yang mengkhitbah ku.


Liang lahad bersedia menjemput...

Dalam sedar tidak sedar...

Hampir setiap malam sebelum menjelang hari pernikahan ku...

Sentiasa ada suara sayu yang menangis sendu di hening malam, dalam sujud, dalam rafa'nya pada Rabbi, dalam sembahnya pada Ilahi.

Sayup-sayup hatinya merintih. Air matanya mengalir deras, hanya Tuhan yang tahu.

"Ya Allah, telah Engkau tunangkan aku tidak lain dengan 'dia' yang mendekatkan dengan Engkau. Yang menyedarkan aku untuk selalu berpuasa, yang menyedarkan aku tentang dunia sementara, yang menyedarkan aku tentang alam akhirat. Engkau satukan kami dalam majlis yang Engkau redhai, aku hamba Mu yang tak punya apa-apa selain Engkau sebagai sandaran harapan. Engkau maha mengetahui apa yang tidak aku ketahui..."

Akhirnya, Khalilah bertanya kepada ibu beberapa minggu kemudian...

"Insyirah bertunang dengan siapa, mak cik?"

Ibu tenang menjawab...

"Dengan kematian wahai anakku. Kanser tulang yang mulanya hanya pada tulang belakang sudah merebak dengan cepat pada tangan, kaki juga otaknya. Kata doktor, Insyirah hanya punya beberapa minggu sahaja sebelum kansernya membunuh."

"Allahuakbar. .."

Terduduk Khalilah mendengar, air matanya tak mampu ditahan.

"Buku yang sering dibacanya itu, malam pertama..."

Ibu angguk, tersenyum lembut...

"Ini nak, bukunya."

Senaskah buku bertukar tangan, karangan Dr 'Aidh Abdullah al-Qarni tertera tajuk 'Malam Pertama di Alam Kubur'.

 "Ya Allah, patut la Insyirah selalu menangis... Khalilah tak tahu mak cik."

"Dan sejak dari hari 'khitbah' tersebut, selalu Insyirah mahu berpuasa. Katanya mahu mengosongkan perut, mudah untuk dimandikan.. ."

Khalilah masih kaku. Tiada suara yang terlontar. Matanya basah menatap kalam dari diari Insyirah yang diberikan oleh ibu.


"Satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku di risik oleh MAUT. Dan satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku sudah bertunang dengan MAUT. Dan aku akan sabar menanti tarikhnya dengan mendekatkan diri ku kepada ALLAH. Aku tahu ibu akan tenang menghadapinya, kerana ibuku bernama Ummu Sulaim, baginya anak adalah pinjaman dari ALLAH yang perlu dipulangkan apabila ALLAH meminta. Dan ibu mengambil 'ibrah bukan dari namanya (Ummu Sulaim) malah akhlaqnya sekali. Ummu Sulaim, seteguh dan setabah hati seorang ibu."

(^_^)Terima kasih Sarah atas perkongsian yang sangat menyentuh jiwa & menyedarkan diri ini tatkala terleka dengan nikmat dunia & kalah dgn ujian dariNYA~

Buku yang dicari bagi mempersiapkan diri untuk dikhitbah

 Semoga semua pembaca dapat mengambil iktibar daripada kisah ini...
Sudahkah kita bersedia untuk  
BERKHITBAH DENGAN KEMATIAN??? 









 

Tuesday, July 20, 2010

BUMI TARBIYAH::Kembali Mentarbiyah...

PhotobucketDi sinilah segalanya bermula...


Langkah demi langkah kakiku menyusuri jalan ini...



"Dahulu...Inilah tempatnya kaki kami direndam jika tidak hafal tasmi'.
Memang menyakitkan, akan tetapi inilah pahit manis kami di tarbiyah di sini sehingga kami menjadi seperti hari ini. Subhanallah wa Alhamdulillah, Ya Rabbi~"



"Dahulu juga..Inilah tempat saya & sahabat2 lain menghabiskan masa petang sebelum naik ke surau jam 6.45ptg (kalau lambat, kene ambik nama=)) untuk berbincang bersama tentang BADAR, pelajaran & masalah2 lain."



Alhamdulillah, semakin cantik 'Kolam Semenanjung SHAMS'...
Mengapa dinamakan 'kolam semenanjung'? Kerana kolam ini dibina mengikut bentuk peta semenanjung=)
Inilah keunikan SMKA SHAMS terchinta!



 Antara keunikan SHAMS yang lain adalah Galeri Sejarah ini yang menyimpan pelbagai khazanah2 silam.
Masuk ke dalamnya terasa seperti berada di zaman dahulu kala. ;-)



Batu refleksologi berbentuk HATI=)
nampak je batu2 tu kecil, tapi tajam tau... 
"Di sinilah kami selalu merehatkan kaki setelah penat pusing satu asrama untuk 'spot check'..."

 

~Landskap yang unik & kreatif ~
Tahniah SMKA SHAMSku, guru2ku serta warga SHAMS kerana dianugerahi
Anugerah Sekolah Kluster!
Semoga lebih cemerlang dunia & akhirat, insyaALLAH...

Dan KINI

Kami kembali ke sini semula untuk menyambung perjuangan untuk mendidik adik2 kami di sini, bukan sekadar kerana kami sayangkan SHAMS, akan tetapi lebih besar lagi kerana kecintaan kami terhadap ISLAM & ALLAH...

 

Adik2 yang kami sayangi kerana ALLAH, sungguh besar harapan kami... Bertitik tolak dari KEMAS '10 (Kem Anak Soleh 2010, 16-18 Julai 2010, kami amat berharap agar adik2 dapat melakukan perubahan dengan kehendak adik2 sendiri, bukan atas paksaan kami atau siapa2. Biarlah natijah daripada usaha adik2 untuk berubah tersebut sedikit, asalkan ia lahir dari dalam diri adik2 serta ikhlas berubah kerana ALLAH, insyaALLAH...

~Doa kami sentiasa mengiringi adik2 yang kami sayangi kerana ALLAH, insyaALLAH hingga ke akhir hayat~

Thursday, July 8, 2010

Peluang Itu Kurebut...

Photobucket
Balik je minggu lepas, abah tanya satu soalan "Nurul, boleh tolong abah tak?". Saya pun jawablah, "tolong ape tu abah?". "Minggu depan ada minggu orientasi dekat Kolej Integriti Ilmu Felda, lepas tu cikgu sana minta abah bg kuliah subuh hari Isnin, Khamis & Jumaat. Nurul ambik sehari ye, bagi kuliah kat budak2 baru tu. Alah, sumenye lepasan SPM je, baya2 Nurul juga. Boleh ye?" Saya yang sedang makan ni hampir tersedak. "Betul ke abah ni? Orang tu minta abah, boleh ke main pass je kat orang lain?". "Takpe, nanti abah bgtau cikgu tu." Berfikir panjang juga lah, nak cakap terima ke tak. Bila fikirkan inilah peluang saya untuk sampaikan ape yang saya nak sampaikan pada belia2 muda harapan bangsa ni, saya kuatkan juga untuk terima.

Sebenarnya saya tau ape tujuan abah minta saya bagi kuliah tu. Abah sebenarnya nak tengok mcm mane anak dia ni bercakap kat depan. Yelah, mane taknya, selalu mak abah dgr anak dia ni pergi program sana sini, motivasi kat sekolah2, sampai jrg2 sgt balik rumah. Ni lah masanya abah nak tgk ape hasil yang saya dapat bila ditarbiyah dgn program2 di luar. InsyaALLAH, akan saya sahut cabaran ini!

Abah mengingatkan saya malam tadi, yang kuliah tu tak lama pun dlm setengah jam je. Abah cakap walaupun masa tu sekejap, kalau boleh pastikan pengisian tu padat. Mak pulak bg cadangan yang buat saya tergamam sekejap. "Nurul, kalau nak lagi bagus, biar lepas Nurul bg kuliah tu sampai ada yang menangis." Huhu...Mak, kalau ni slot muhasabah, insyaALLAH, boleh juga buat mcm tu. Kot pagi nanti Nurul buat mcm tu, ada pulak yang makin khusyu' sampai bukan setakat sepet2 mata menangis, tapi tertutup terus sebab tidur=) Mak pandai gurau ye sekarang. Sebelum tidur mlm tadi, sekadar review ape yang nak dicakapkan, cari dalil2 untuk kuatkan lagi ape yang saya nak sampaikan.

Alhamdulillah, subuh tadi dapat solat jemaah dgn pelajar2 baru tu semua. Suci sungguh muka mereka semua. Muka penuntut2 ilmu Allah yang sgt luas. Selesai solat subuh, sempat bertanya dgn adik di sebelah saya, "Dekat sini, ambik kos ape ye dik?". "Ada 2 je kak, jahitan & dandanan rambut". Owh... Ini sebagai bekal muqaddimah kuliah nanti. Akhirnya, cikgu yang mempengerusikan majlis itu memanggil saya untuk tampil ke hadapan. Melangkah ke hadapan surau dgn memohon kelancaran & kefasihah dari Allah Al-Wasi', Yang Maha Melapangkan & Ar-Rashid, Yang Maha Pandai lagi Bijaksana. Semoga Allah melapangkan dada anak2 ini untuk menerima perkongsian dariku, Ya Rabbi~

Berbekalkan ilmu & pengalaman yang sedikit ni, Alhamdulillah, saya kongsikan bersama mereka tentang pengurusan masa yang berkesan. Antara intipati yang sempat saya selitkan tentunya tafsiran Surah Al-Asr yang kita semua sedia maklum bahawa ALLAH telah bersumpah dgn masa, yang mana manusia sentiasa dlm kerugian. Kecuali 4 golongan yang istimewa iaitu:-
  1. orang yang beriman kepadaNYA
  2. orang yang beramal soleh
  3. orang yang berpesan2 kepada kebenaran & kebaikan
  4. orang yang berpesan2 kepada kesabaran
Seterusnya antara yang saya dapat kongsikan dgn mereka adalah tentang hadith nabi yang mana nabi mengingatkan kita supaya selalu menitikberatkan 5 perkara sebelum tibanya 5 perkara:-
  • sihat sebelum sakit
  • muda sebelum tua
  • kaya sebelum miskin
  • lapang sebelum sempit
  • hidup sebelum mati
Sewaktu kita sihat, muda, kaya, lapang & hidup inilah kita boleh menunaikan tanggungjawab kita sebagai insan yang memegang dual status, iaitu 'abd & khalifah Allah di muka bumi ini. 'Abd (hamba) tugasnya adalah untuk mengabdikan diri padaNYA dengan menunaikan suruhanNYA dan meninggalkan laranganNYA. Khalifah pula tugasnya untuk menuntut ilmu, kemudiannya bekerja, berkeluarga, bersosial mengikut syara', pendek kata menunaikan hak pada diri & orang lain.

Banyak juga contoh2 yang saya selitkan terutama yang dekat dengan diri mereka iaitu berpesan supaya mereka menggunakan kemahiran yang dimiliki ke arah yang bermanfaat untuk diri & juga orang lain. Kemahiran yang mereka ada, tak semua orang mampu lakukan, dan seharusnya mereka bersyukur dengan cara menggunakan kemahiran mereka itu untuk meningkatkan taraf ekonomi diri, keluarga, masyarakat dan juga negara. InsyaALLAH, suatu hari nanti mereka mampu lakukannya, demi memulihkan semula keadaan ekonomi negara memandangkan ekonomi negara yang bermasalah sekarang ni.

Jika kita lihat, bagaimana Rasulullah S.A.W membahagikan masa baginda, baginda membahagikan masa untuk 4 perkara dalam hidup baginda:-
  • Masa untuk beribadat kepada Allah
  • Masa untuk muhasabah diri
  • Masa untuk merenung ciptaan Allah
  • Masa untuk keperluan diri
Berdasarkan garis panduan pengurusan masa Rasulullah ini, kita dapat lihat bagaimana Rasulullah mengisi masa baginda keseluruhannya dengan pengakhirannya menuju kembali pada Allah Ya Khaliq, Yang Maha Mencipta segala sesuatu di alam ini, subhanallah~ 
Dalam pada itu, tidak bermakna juga seluruh masa kita perlu diisi dengan kerja2 yang memerlukan tenaga yang tidak henti2. Masa rehat untuk diri juga perlu dititikberatkan kerana andai tidak ditunaikan hak pada diri, maka akhirnya binasalah diri dengan kezaliman diri sendiri. Memetik kata2 Saidina Ali r.a, "Berilah kerehatan pada hatimu buat seketika, sesungguhnya jika hati itu dipaksa, nescaya akan buta hati tu". Teringat pula lirik lagu kumpulan Raihan,
Berhibur tiada salahnya,
Kerna hiburan itu indah,
Hanya pabila salah memilihnya,
Membuat kita jadi bersalah.

Berpada2lah dalam berhibur. Asalkan kita pandai menapis dan mengawal agar tidak terlalu berlebihan. Lebih baik dalam pada berhibur tu, kita cuba selitkan unsur2 yang dapat mendekatkan kita padaNYA. Subhanallah, seni itu indah!
Sedar tak sedar, hampir lebih setengah jam saya bercakap di hadapan, sampai abah kene bagi note peringatan "5 minit je lagi". Untuk akhirnya, sebagai penutup saya bacakan satu hadith Rasulullah S.A.W, "Tidak akan berganjak kedua kaki seorang hamba pada hari kiamat, melainkan ditanya dahulu 4 perkara:
  • Tentang umurnya & untuk apa dihabiskan umurnya
  • Tentang masa mudanya & bagaimana ia menggunakannya
  • Tentang harta, dari mana datangnya & untuk apa harta itu dihabiskan
  • Tentang ilmu & bagaimana ia memanfaatkannya

    Demi Masa...
      
    Jauh di sudut hati ni mengharapkan agar perkongsian yang tak seberapa tadi dapat memberi sedikit sebanyak manfaat & input2 yang boleh diguna pakai buat bekalan adik2ku di situ. Selesai je tadi, terdetik di hati ni, seronoknya dapat memberi. Kepuasan yang dirasa betul2 membuatkan saya terfikir, rupa2nya inilah yang buatkan semangat abah sentiasa kuat untuk bagi kuliah & mengajar walaupun dapat jemputan jauh2, bawa kereta malam2 & sorang2 lagi. Tak pernah mengeluh penat, bosan, malah kata seronok lagi. Inilah keseronokan sebagai seorang mu'allim (guru), betapa besarnya ERTI HIDUP PADA MEMBERI, subhanallah...

    Nak balik tadi, cikgu Liza (salah seorang guru menjahit) bertanya, "Husna ambik kos ape kat uia". "Ekonomi, cikgu". "Owh, ingatkan ambik kaunseling, sebab gaya cakap mcm kaunselor & motivator". Fuh, berpeluh saya dengar. 'Ala kullihal, pernah menyimpan hasrat juga untuk buka konsultan mcm Ust. Fahri (AFM Terbaik!) tu disebabkan keseronokan dapat memberi sesuatu kepada masyarkat. InsyaALLAH, moga diizinkan suatu hari nanti. Aamiin Ya Rabb~

    Permulaan yang memberi pengalaman yang sangat menarik. Terima kasih buat abah yang beri kepercayaan untuk Nurul ambik alih tugas abah pagi tadi. Abah dah cakap tadi, "lain kali boleh ganti abah lagi la ye". Saya senyum je, "InsyaALLAH, boleh je kalau ada orang nak bagi chance lagi".=)

    Nantikan untuk entry akan datang, saya nak sgt kongsikan mcm mane teknik pengurusan masa yang saya praktikkan yang telah banyak bantu saya menguruskan hidup dengan tersusun. InsyaALLAH semoga diberi keizinan & peluang untuk memberi sesuatu kepada sahabat2 pembaca semua. Teringat kata2 seseorang yang pernah menegur saya dan membuatkan saya tersedar dari kelalaian diri, "Andai nak jadi hebat, jgn jadi hebat sorang2. Pimpinlah tangan sahabat2 untuk menjadi hebat bersama." Terima kasih kakak2ku atas "tamparan kesedaran" tersebut.

    Monday, April 12, 2010

    Dari Manakah Kita?

    Photobucket "Ketika Allah SWT berfirman kepada malaikat, Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (tentang hikmah ketetapan Tuhan itu dengan berkata), "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah, padahal Kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu? Tuhan berfirman, "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya." (Al-Baqarah : 30)

    Allah SWT telah memerintahkan Malaikat Jibril turun ke bumi untuk mengambil sebahagian bahan untuk menjadikan Adam. Walau bagaimanapun, bumi enggan membenarkan tanahnya diambil, malah bersumpah dengan nama Allah yang dia tidak rela untuk menyerahkannya kerana kebimbangannya seperti yang dibimbangkan oleh para malaikat. Jibril kembali setelah mendengar sumpah tersebut lalu Allah mengutuskan Malaikat Mikail dan kemudiannya Malaikat Israfil, tetapi kedua-duanya juga tidak berdaya hendak berbuat apa-apa akibat sumpah yang dibuat oleh bumi. Maka, Allah memerintahkan Malaikat Izrail untuk melakukan tugas tersebut dan menggesa agar tidak berundur walaupun bumi ersumpah kerana tugas tersebut dijalankan atas perintah dan nama Tuhan. Maka, Izrail turun ke bumi dan mengatakan yang kedatangannya adalah atas perintah Allah dan memberi amaran kepada bumi untuk tidak membantah yang memungkinkan bumi menderhaka kepada Allah. Menurut Ibnu Abbas, tanah bumi dan syurga digunakan untuk dijadikan bahan mencipta Adam.


    Tanah tersebut adalah :
    • Tanah Baitulmuqaddis - kepala sebagai tempat kemuliaan untuk diletakkan otak dan aqal.
    • Tanah Bukit Tursina (Mesir) - telinga sebagai tempat mendengar dan menerima nasihat.
    • Tanah Iraq - dahi sebagai tempat sujud kepada Allah.
    • Tanah Aden (Yaman) - muka sebagai tempat berhias dan kecantikan.
    • Tanah Telaga Al-Kauthar - mata sebagai tempat menarik perhatian.
    • Tanah Al-Kauthar - gigi sebagai tempat memanis-manis.
    • Tanak Ka'abah (Makkah) - tangan kanan sebagai tempat mencari nafkah dan bekerjasama.
    • Tanah Paris (Perancis) - tangan kiri sebagi anggota untuk melakukan istinjak.
    • Tanah Khurasan (Iran) - perut sebagai tempat berlapar.
    • Tanah Babylon (Iraq) - kelamin sebagai organ seks dan tempat bernafsu serta gdaan syaitan
    • Tanah Tursina (Mesir) - tulang sebagai peneguh manusia.
    • Tanah India - kaki sebagai anggota berdiri dan berjalan.
    • Tanah Firdaus (Syurga) - hati sebagai tempat keyakinan, keimanan, dan kemahuan.
    • Tanah Taif (Arab Saudi) - lidah sebagai tempat untuk mengucapan syahadah, syukur dan doa.

    Dipetik dari buku bertajuk "Semai Benih-Benih Syurga" yang menampilkan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.





    Monday, March 22, 2010

    ~Tika Diuji dengan Kesabaran~

    Photobucket"Ya Allah, hati ini hiba tatkala membaca kiriman sahabatku ini. Kau Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya Kau Maha Mendengar rintihan hamba-hambaMu yang lemah ini dan sesungguhnya Kau tempat mengadu yang tidak pernah jemu mendengar aduan dan rayuan kami. Kau yang Maha Agung Ya ALLAH. Allahu Rabbi..."

    Sahabat pembaca sekalian, saya ingin berkongsi sesuatu dengan semua. Walaupun ini adalah kisah yang hanya saya "copy paste" dari e-mail, tetapi saya harapkan semua dapat membaca kisah ini dari awal hingga ke akhirnya. Ada sesuatu yang kita boleh pelajari dan ambil iktibar serta mungkin ada yang ingin mencontohi keperibadian insan yang diceritakan dalam kisah ini. Beliau sangat tabah dan kuat serta meletakkan 100% kebergantungan dengan ALLAH tanpa ada keraguan walau sedikit pun. Sama-sama kita hayati kisah ini dengan hati dan jiwa yang tenang.


    Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani...



    Ya Allah..lancar jari ini menaipkan sebuah pengalaman yg amat berharga dr seorang insan yg dipilih Allah utk berjumpa Nabi Muhammad s.a.w. melalui mimpi hari Khamis, 16 Rejab 1427H bersamaan 10 0gos 2006.

    Nama yg dipilih oleh ayah beliau adalah Syamimi yg bermaksud 'kesayanganku', jua gelaran Nabi pada puteri kesayangan Baginda, Fatimah. Ketika khilaf memilih nama itu, ayah beliau mengharapkan mudah2an suatu hari nanti anaknya akan menjadi salah seorang mutiara kesayangan Rasulullah s.a.w. Alhamdulillah, doanya makbul selepas 23 tahun kelahiran anak sulungnya daripada 8 adik-beradik.


    Al-Quran 30 juzuk terpelihara kemas dalam hatinya. Beliau menghabiskan masa 3 tahun utk menghafal 30 juzuk Kalamullah ketika berada di negeri kelahirannya. Beliau hafal sendiri utk memenuhi harapan ibu ayah yang mengharapkan ada dalam kalangan anak mereka menjadi seorang hafiz atau hafizah. Sebagai anak sulung, beliau mengambil tanggungjawab ini utk menjadi contoh kpd adik2 yg lain. Setiap hari beliau hafal 2 mukasurat Al-Quran dan tasmi' dgn ustaz di sebelah rumahnya. Sekarang beliau pelajar tahun 4 jurusan Undang-Undang Syariah di universiti ini.


    Akak ni memang diuji dengan sakit yg tak tahu apa punca sejak lebih setahun yg lalu. Sakitnya rasa seperti ditikam-tikam dengan pisau di bahagian belakang tubuhnya, tambahan pula kaki yang sakit di bahagian lutut sejak 8 tahun lalu tidak pernah sembuh. Pernah satu ketika, selepas makan, beliau muntah bersama segumpal rambut dari kerongkongnya. Penderitaannya hanya Allah dan dia sendiri yang tahu. Sudah lama beliau tidak terdaya ke kelas kerana sakit itu membuatkan dia tidak dapat berdiri atau berjalan. Hilang selera makannya hingga badannya susut hampir 13 kg. Beliau hanya menggagahkan diri untuk pergi berwudhu' 2 hingga 3 kali sehari. Wudhu' itu dijaga sebaik mungkin untuk ibadah sepanjang hari.


    Hari2 yang dilaluinya dipenuhi dgn membaca Al-Quran dan qiamullail sebagai pendinding daripada gangguan yg terus2an menyakiti diri. Diceritakan makhluk2 halus itu akan mengganggunya terutama pada waktu sebelum Subuh, Zuhur dan Maghrib. Beliau telah banyak berubat di merata tempat, berjumpa doktor2 pakar, malah ulama' yg faqih dalam ilmu perubatan islam serta akhir sekali bertemu sorang lecturer di sini. Tapi beliau hanya mampu bertahan. Pesan ustaznya, setiap kali beliau sakit, banyakkan baca Surah Al-Baqarah.


    Pagi Khamis itu, beliau berniat utk hadir kuliyah sebab sudah terlalu lama tidak mampu ke kelas. Beliau bangun kira2 jam 4.30 pagi utk solat. Berbekalkan sedikit kekuatan yg digagahkan, beliau ke bilik air utk berwudhu' dgn memapah dinding dan segala apa yg mampu membantu beliau untuk berdiri. Habis berwudhu', beliau jatuh tersungkur, rasa seperti ada yg menolak keras dari belakang. Tika itu beliau sudah tidak mampu berdiri, justeru beliau merangkak ke bilik. Sampai saja di bilik, beliau ketuk pintu dan rebah di depan bilik tersebut. Disebabkan sakit yg mungkin dah tak tertanggung, dengan spontan beliau niatkan, "Ya Allah, kiranya mati itu baik untukku, aku redha, tapi kiranya Engkau ingin aku terus hidup, aku ingin dengar kata-kata semangat drpd Rasulullah s.a.w. sendiri.."

    Kemudian beliau pengsan. Sahabat2 sebilik mengangkat beliau ke dalam biliknya dan di baringkan di sana . Waktu itu, sahabat2nya telah pun 'forward message' pd rakan2 yg lain agar dibacakan surah Yasin kerana beliau nampak sudah nazak. Malah mereka telah sedia dgn nombor2 ahli keluarganya utk dihubungi kiranya ada apa2 berlaku dengan izin Allah. Kira2 jam 11 pagi itulah, ketika tertidur dgn tenang dalam waktu qoilullah, beliau bermimpi. Beliau sedang terbaring dalam keadaan memakai telekung dgn tangannya diqiam seperti dalam solat di suatu tempat asing yang sangat cantik. Beliau terbaring di sebelah mimbar dan kelihatan banyak tiang di sekitarnya.


    Tiba-tiba datang seorang Hamba Allah dgn wajah yang bercahaya dari arah depan dan berdiri hampir sekali, kira2 2 meter dari beliau. Wajahnya SubhanaLlah..indah sekali, tak dapat nak digambarkan. Beliau tertanya2, siapakah orang ini? cantik sekali kejadiannya dan hati beliau rasa sangat tenang dgn hanya melihat wajahnya. Dirasakan seluruh kesengsaraan yg ditanggung selama ini lenyap begitu sahaja. Kemudian, Hamba Allah itu mengatakan, "Assalamu'alaikum, ana Rasulullah.." Subhanallah..baginda Nabi rupanya! Nabi memakai jubah putih dan kain serban berwarna hijau di atas bahu baginda. Beliau nampak dgn jelas mata Baginda Nabi, janggut Baginda, rambut Baginda, kain serban di atas bahu Baginda dan tubuh Baginda. Kemudian Nabi katakan "Enti fil masjidi" (kamu sekarang berada di masjidku, Masjid Nabawi).. Allahuakbar!


    Kemudian Baginda Nabi s.a.w. berkata: QalAllahuta' ala; "InnaAllahama' assobirin" (sesungguhnya Allah bersama orang2 yg sabar). Ketika mendengar suara Nabi mengalunkan Kalamullah, terasa bergema suara merdu Nabi di seluruh alam. Sememangnya Baginda sebaik-baik kejadian dan diciptakan dgn penuh kesempurnaan. Nabi katakan (dalam lughahl arab, tp diterjemahkan di sini) ; "Ya Syamimi, dengan berkat kesabaran enti, dgn sakit yg enti tanggung selama ini, dan dgn berkat Al-Quran yg enti pelihara di dlm hati, maka Allah bukakan hijab utk enti nampak ana.." Ketika Nabi menyebut Ya Syamimi, terlintas di hatinya "Ya Allah..Baginda kenal ummatnya!". Ya Rasulullah... Ketika itu, beliau dapat merasakan baiknya Allah, memberikan nikmat yg begitu besar buat dirinya.


    Kemudian Nabi katakan lagi; "Sampaikan salamku buat sahabat2 seperjuangan Islam. InsyaAllah, kita semua akan berjumpa nanti.." Nabi s.a.w. kemudian melafazkan; "Ummati.. ummati..ummati..." dan beliau nampak jelas Nabi menangis saat itu. Beberapa titisan airmata Baginda yg suci mengalir utk ummat Baginda! Kemudian Baginda Nabi melangkah pergi. Beliau merintih, "Jangan pergi Ya Rasulullah.." tetapi Baginda tetap pergi. Subhanallah, walaupun kita tak pernah bersua dgn Nabi yg mulia, Baginda kenal dan sentiasa ingat akan ummatnya. Beliau sendiri tidak pasti, apakah Baginda menangis kerana rindu kepada ummatnya, atau mungkin saja baginda sedih dgn ummat akhir zaman ini? wallahua'lam...


    Sedar daripada tidur yg amat indah pengisiannya itu, beliau masih dikelilingi oleh rakan2 yg turut terdengar rintihan beliau dalam tidurnya "Jangan pergi Ya Rasululah..." Beliau kemudian menceritakan kpd para sahabat tentang mimpinya sekaligus menyampaikan salam Rasulullah buat ummat Baginda. Semua yg mendengar menangis lantaran rindu pada Nabi. Rasa malu pada Nabi krn kita jarang2 ingat pada Baginda sedangkan kita amat terhutang budi padanya. Lebih2 lagi kita sedar bahawa hanya syafaat Bagindalah yg dikejar di akhirat kelak.


    Ya Allah..ketika itu, tiada kata yg lebih tinggi drpd kalimah Alhamdulillah utk di rafa'kan pada Allah atas ni'mat yg begitu besar yg Allah berikan pada dirinya. Rasa tak layak dirinya menerima anugerah dgn ujian yg hanya sedikit berbanding insan2 yg lebih berat diuji oleh Allah. Kiranya ada kalimah pujian yg lebih tinggi dr Hamdalah, pasti akan beliau sebutkan buat Allah Yang Maha Kaya. Semuanya terangkum dalam Rahmat-Nya yg melimpah ruah. Rasa sakit masih menular di tubuhnya. Cuma kali ini dia bertekad tidak akan menangis lagi utk kesakitan ini.


    Usai solat Zuhur, rasa sakit yg ditanggung makin hebat. Tak pernah beliau merasakan sakit yg sebegitu rupa. Terasa panas seluruh badan dan seluruh tubuhnya rasa ditikam pada setiap penjuru. Kalau dulu, beliau akan menangis dalam menghadapi kesakitan, namun pada waktu itu beliau pujuk diri utk tidak menangis. "Apa sangatlah sakit yg aku tanggung ini berbanding nikmat yg Allah telah bagi utk melihat Baginda Nabi s.a.w.."


    Kemudian beliau tidur. Beliau terus rasakan berada di tempat tinggi, tempat yg biasa hadir sepanjang beliau menerima gangguan. Beliau katakan "Ya Allah, apa lagi yg hendak Engkau berikan buat hambamu yg hina ni, rasa malu sangat dengan-Mu Ya Allah..." Kemudian dgn izin Allah, datang empat orang yg berpakaian serba hijau. Salah seorang daripadanya mengatakan; "Assalamu'alaikum Ya Syamimi..Rasulullah s.a.w. sampaikan salam buatmu. Kami utusan Rasululah..Nahnu khulafa' ar-rasyidin. Ana Abu Bakr, ini Ummar Al-Khattab, Uthman bin 'affan dan Ali.." Subhanallah..Saidina Abu Bakr memperkenal dirinya dan ketiga2 sahabat yg mulia. Beliau nampak sendiri, Saidina Abu Bakr yg amat lembut perwatakannya, Saidina Ummar dgn wajah tegasnya, Saidina Uthman yg cantik sekali dan Saidina 'Ali yg agak kecil orangnya.


    Para Sahabat mengatakan; "Kami diutuskan oleh baginda Nabi utk membantu enti.." Kemudian keempat2 mereka membacakan ayat 102 surah Al-Baqarah yg bermaksud:


    "Dan mereka mengikuti apa yg dibaca oleh syaitan-syaitan pada masa kerajaan Sulaiman. Sulaiman itu tidak kafir tetapi syaitan-syaitan itulah yg kafir, mereka mengajarkan sihir pada manusia dan apa yg diturunkan pada 2 malaikat di negeri Babylon iaitu Harut dan Marut. Padahal keduanya tidak mengajarkan sesuatu kepada seseorang sebelum mengatakan 'sesungguhnya kami hanyalah cubaan (bagimu) sebab itu janganlah kafir.' Maka mereka mempelajari dari keduanya (malaikat itu) apa yang (dapat) memisahkan antara seorang (suami) denagn isterinya. Mereka tidak akan dapat mencelakakan seseorang dgn sihirnya kecuali dengan izin Allah. Mereka mempelajari sesuatu yang mencelakakan, dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan sungguh, mereka sudah tahu, barang siapa membeli (menggunakan sihir) itu, nescaya tidak akan mendapat keuntungan di akhirat. Dan sungguh, sangatlah buruk perbuatan mereka yang menjual dirinya dgn sihir, sekiranya mereka tahu.."


    Selesai membaca ayat itu, para sahabat Nabi menghembus pada makhluk2 yang sedang mengganggu beliau dan mereka semua hancur terbakar. Subhanallah..waktu itu terus terasa seolah2 tubuhnya yg sakit dahulu ditukarkan Allah s.w.t. dgn tubuh yg baru. Hilang segala kesakitan yg setahun lebih ditanggung beliau dgn sabar. Saidina Abu Bakr mengatakan; "Inilah ganjaran besar dari Allah buat orang-orang yang sabar.." Kemudian, para sahabat Nabi yg mulia pun pergi meninggalkannya.


    Selesai mimpi indah yg kedua ini, beliau bangun dr tidur dan terus duduk. Rakan2 sebilik pelik, kenapa beliau dapat bangun dan duduk dgn mudah . Kemudian sahabat2nya itu menyuruh beliau bangun berdiri dan alhamduliLlah..dgn mudah beliau bangun berdiri dan berjalan d sekitar bilik. "Ya Allah, penyakit ana dah sembuh.." Semua sahabat yang ada di situ bergembira dan menangis. Kemudian beliau segera ke bilik air untuk berwudhu'. Dengan tubuh yang 'baru', beliau sujud syukur pada Allah s.w.t. "Ya Allah, kiranya di beri tempoh sujud 100 tahun pun belum dapat diriku menjadi hamba-Mu yg bersyukur atas nikmat yg telah Engkau berikan.."


    Beliau berpesan pada kami; "Adik-adik, wajarlah para sahabat Nabi yang mulia sanggup mati demi mempertahankan Baginda. Akak yang diberi rezeki melihat Nabi tak sampai pun 5 minit dah rasa tak sanggup berpisah dengannya. Kalau boleh, nak duduk je di bilik untuk beribadah pada Allah dan mengenang wajah Nabi yg mulia. Tapi menyedari banyak lagi taklifan dan tanggungjawab kita atas muka bumi Allah ini, maka hidup mesti diteruskan. Sekarang ini hati akak tenang sangat..kalau boleh, nak je akak pinjamkan hati ni walau hanya sesaat agar adik2 dapat merasakan betapa beningnya hati ini. Tapi itu tak mungkin kan , mungkin ini bahagian akak, bahagian kalian? Hanya Pemiliknya Yang Maha Tahu. Akhir sekali akak ingin katakan, tak rugi kita bersabar..."


    Keperibadiannya indah. Cerminan al-Quran katanya 'Aisyah ra. Dari semua aspek kehidupan, diperagakannya hanyalah kesyumulan. Allah mengajar manusia berkehidupan di muka bumi ini melalui baginda. Menuruti sunnahnya adalah pahala. Kasih sayangnya tiada bertepi, dari yang kecil hingga yang tua, dari hamba hingga ke bangsawan, dari dulu sampai sekarang, hingga ke akhirnya.. Dialah peribadi unggul sepanjang zaman. Mencintainya suatu kemuliaan...


    Pernah suatu ketika Rasulullah berkumpul didalam satu majlis bersama para sahabat. Tiba-tiba bergenang air mata baginda s.a.w. Para sahabat gelosah melihat sesuatu yang tidakmereka senangi di wajah Rasulullah saw. Bila ditanya oleh Saidina Abu Bakar ra, baginda mengatakan bahawa terlalu merindui ikhwannya.. Saidina Abu Bakar sekali lagi bertanya Rasulullah saw, "bukankah kami ini ikhwanmu?" Rasulullah menjawab, "Tidak, kamu semua adalah sahabatku.. ikhwanku adalah umatku yang belum pernah melihat aku tetapi mereka beriman dan sangat mencintaiku... Aku sangat rindu bertemu dengan mereka.."


    "Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya bershalawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, bershalawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya." (Al-Ahzab:56)


    Allahumma Solli 'Ala Sayyidina Muhammad...
    Ya Rasulullah, kami merinduimu....


    Friday, March 19, 2010

    Ya ALLAH, Terima Kasih Mengingatkanku...


    PhotobucketAlhamdulillah...Alhamdulillah...Alhamdulillah...

    Tiada lain yang inginku lafazkan melainkan kalimah syukur ke hadratNYA... Terima kasih Ya ALLAH, KAU telah menyalurkan peringatan dariMU melalui pelbagai wasilah di atas dunia ini...


    "Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki Yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa Yang mereka kerjakan." (An-Nur:30)


    "Anis, saya tak suka la orang yang hantar msg merapu dkt facebook ni." Saya meluahkan perasaan pada Anis sementara menunggu mdm sampai ke kelas pagi tu. "Satu lagi, sekarang ni saya tengok semua orang tak ambil berat sangat bab ikhtilat bila dah berhubung guna facebook ni. Selamba je bergurau benda yang merepek2 dekat wall masing2. Mungkin ada yang fikir, "takpela, dekat facebook je pun, bukan bercakap bertentang mata." Di mana dan sejauh mana kefahaman kita dalam bab pergaulan lelaki & perempuan ini? Adakah apabila bertentang mata, baru nak menjaga?


    Anis keluarkan pendapatnya..."Husna, sebab tu lah Anis tak nak letak gambar Anis dekat facebook. Sebab, bila orang tengok gambar kita, macam2 perkara boleh jadi. Kita tak tau apa reaksi orang yang tengok gambar kita masa tu. Dan Anis pernah tanya ustaz tentang letak gambar dekat facebook ni. Ust pun tak galakkan sangat. Sebab ust kata kita ni perempuan, dan kita adalah bahan fitnah yang terbesar sekali. Lagi-lagi zaman teknologi yang maju sekarang ni, macam-macam perkara buruk boleh jadi. Jadi kita sendiri kene pandai menilai, sama ada kalu kita buat sesuatu tu akan mendatangkan keburukan (mudharat) lebih banyak dari kebaikan (maslahah), maka tinggalkan. Tapi kalau kita nak letak gambar kenangan kita dengan kawan-kawan dan nak kongsi dengan kawan-kawan, boleh je, takde masalah. Sekarang ni kan teknologi dah canggih, kita boleh kawal semua setting untuk orang-orang tertentu sahaja yang boleh tengok gambar kita."



    Petang pada hari yang sama juga, sewaktu cek email di
    inbox, tiba2 sampai satu email dari seorang sahabat. Saya berfikir panjang tatkal baca email tersebut. Pesanan dan peringatan yang sama seperti apa yang Anis kongsikan pada saya pagi tadi. Mengenai "Muslimah & Gambar". Sangat2 terkesan apabila selesai membaca entry blog seorang sahabat yang diattach pada email tersebut. Dan saya ingin berkongsi dengan semua, bukan sahaja sahabat2 muslimat saya, tetapi juga muslimin2 di luar sana kerana peringatan ini perlu disampaikan kepada semua. Dan saya percaya muslimin2 di luar sana juga ada adik & kakak, bukan? Jadi sebar-sebarkanlah peringatan yang sangat berguna ini kepada semua kenalan kita. Semoga kebaikan yang kita lakukan dapat dikongsi bersama, insyaALLAH. ini entry blog sahabat tentang "Muslimah & Gambar"::~


    Muqaddimah
    Terkadang bila melayari weblog-weblog rakan, menjelajah ke dalam dunia maya bagi manusia yang memayakan diri mereka, saya merasa hairan melihat sesetengah weblog muslimah, yang bertudung, yang menutup aurat, tidak segan silu pula untuk memaparkan gambar masing-masing. Tiadalah terlalu salah untuk memaparkan gambar anda, ya muslimah sekalian, namun, sayangnya, anda terlupa bahawa gambar yang anda posting itu adalah gambar sebesar skrin 17 inci! Setiap butir jerawat dan bulu halus di muka anda terpampang rapi!


    Muslimah & Gambar : Ada apa dengannya?
    Tidaklah tujuan saya mengaibkan kalian. Saya adalah rakan kamu. Sahabat kamu. Yang enggan melihat wajah-wajah anda itu, dipaparkan sewenang-wenangnya kepada orang. Biarpun wajah bukan aurat mengikut sesetengah mazhab, namun tatkala fitnah mengundang, tidakkah ia melayakkan ianya ditutup dari pandangan umum?
    Muslimahku, Dunia internet semakin berkembang maju. Satu hari, satu weblog, mungkin berjuta-juta orang yang melihatnya setiap hari. Di kalangan mereka ada yang bagus, yang menundukkan pandangan selaras firman Allah dalam Surah An-Nur:30 :

    "Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki Yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa Yang mereka kerjakan."

    Namun, kita harus akui, bahawa di kalangan jutaan orang itu, ada yang hatinya sakit, ada yang jiwanya perit menanggung kesakitan akibat terlihat wajah-wajah kamu biarpun kamu bertudung litup. Muslimahku. Kalau kita lihat dunia gambar bukan main maju lagi. Dahulu, cuma setakat kamera yang perlu dicuci gambarnya. Kini, telefon juga menjadi kamera. Kamera pula lebih dahsyat, lebih instant, sesegera mee segera yang sama kerosakan yang dibawanya, penyakit hati. Alangkah malangnya, kalau wajah-wajah anda yang terpamer itu, mengundang gejolak rasa di jiwa insan bernama lelaki, yang beriman akan beristighfar dan memujuk hati, manakala yang sakit jiwanya, akan mula mengganggu anda. Mula memburu anda dengan SMS, telefon, hatta mungkin mendekati anda, dengan tujuan memiliki anda....Hanya kerana satu kesilapan yang mungkin anda tidak terniat, wajah anda terpampang besar di internet!

    Gambar adalah bayangan realiti. Namun mungkin juga ia fantasi. Kadangkala tertipu juga lelaki pada fantasi Photoshop, Fireworks dan seribu satu pengedit gambar lagi. Kalau itu memang tujuan anda, anda tanggung sendirilah. Tapi kalau niat anda cuma berkongsi, dengan tanpa sedar mengajak fitnah bertandang, maka amaran saya, hati-hatilah!

    Penyelesaiannya
    Andalah sahaja yang mampu menyelesaikannya. Bukan orang lain. Diri anda, andalah yang harus menjaganya. Apa tujuan anda bertudung dan menutup aurat? Bukankah kehendak syariat dan ingin menutup pandangan orang kepadamu? Maka, soalan saya, menundukkan pandangan bukan kehendak syariatkah? Memaparkan wajah anda besar-besar menutup pandangan orang terhadap andakah?

    Kerana weblog-weblog dan web foto itu milik anda, seharusnyalah anda kecilkan wajah-wajah anda dengan mengecilkan saiz gambar itu. Banyak cara boleh dilakukan menggunakan perisian pengedit gambar. Belajarlah daripada yang tahu. Hindarkanlah aksi-aksi dan posing-posing yang hanya akan menambahkan lagi kerosakan jiwa masyarakat. Sekiranya niat anda hanya ingin berkongsi dengan rakan muslimah anda, lakukanlah secara tertutup. Elakkan posting yang boleh dilihat oleh segala macam jenis orang. Kalau lebih mudah, anda kirim saja emel bergambar pada rakan muslimah anda itu.

    Ingat, wajah anda, anugerah Allah. Anugerah Allah itu hanya layak dilihat berkali-kali oleh yang layak sahaja.

    Wallahu A'lam.

    Peringatan juga buat diriku yang sering lupa...


    Alhamdulillah, syukurku hanya kepadaMu Ya ALLAH...
    Kau masih menyayangi hambaMu ini dengan memberi peringatan-peringatan kepadaku yang sering alpa & leka. Dan Kau jadikan sahabat2 yang ku kasihi sebagai wasilah untuk menyampaikan peringatanMU itu.


    Semoga sahabat2 yang membaca entry ini dapat memuhasabah diri bersama dan melakukan tindakan yang sewajarnya selepas membaca peringatan ini. Sekadar perkongsian bersama, mungkin ada yang bertanya macam mana nak lindungi gambar2 yang ada dalam album masing2 yang dah diupload di Facebook. Di bahagian Album Privacy tu, kita boleh settup siapa yang boleh tengok album gambar kita. Senang je=), first, kita buat friend list yang baru, contohnya "Best Friends", dan dalam "Best Friends" ni kita hanya masukkan sahabat perempuan kita sahaja. Dah selesai buat friend list tadi, dekat Album Privacy, click pada customize button yang ada pada setiap album gambar kita, dan masukkan friend list "Best Friends" yang kita dah buat tadi. Jadi, maknanya, gambar2 kita hanya boleh dilihat oleh sahabat2 perempuan sahaja~.


    Ini hanya sekadar antara usaha yang kita boleh lakukan untuk mengawal diri kita dan juga sahabat2 lain dari menjadi bahan fitnah orang umum. Na'uzubillah...
    Ingatlah wahai sahabat2 muslimahku, hanya kalian yang berhak menjaga maruah dan harga diri kalian. Tiada siapa yang lebih layak melainkan kalian.

    Ingat, wajah anda, anugerah Allah. Anugerah Allah itu hanya layak dilihat berkali-kali oleh yang layak sahaja.

    Sekian, sekadar peringatan dari hamba yang hina lagi dina juga yang seringkali alpa & leka.

    Ya ALLAH, ampuni hambaMU ini yang seringkali melakukan dosa kepadaMU...
    Astaghfirullah...


    Followers