*~Jiilul Quran~*

Tuesday, March 3, 2009

~::Kemanisan Berusroh::~

“Wahai orang-orang yang beriman! Barang siapa di antara kamu yang murtad (keluar) dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum, Dia mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya, dan bersikap lemah lembut terhadap orang-orang yang beriman, tetapi bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah kurnia Allah yang diberikan-Nya kepada siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Mahaluas (pemberian-Nya), Maha Mengetahui.” (Surah Al-Maidah : 54)

Kem Latihan Nuqaba’ (KLANA) adalah program tahunan yang akan dikelolakan oleh pihak Alumni BADAR SMKA SHAMS. Dan alhamdulillah, pada tahun ini program ini telah berjaya diadakan lagi sekali. Bemula 6 hingga 8 februari yang lepas, kami dari pihak alumni bersama-sama turun padang untuk membantu adik-adik nuqaba’ dan naqibat. MasyaALLAH, alangkah tenangnya hati kami apabila melihat wajah-wajah penyambung warisan yang ditinggalkan oleh Rasulullah S.A.W. Muka yang penuh dengan harapan dan cita-cita untuk mengembalikan sinar kegemilangan SHAMS suatu ketika dahulu. Tidak dinafikan, masih banyak masalah yang berlaku di SHAMS yang kadang kala membuatkan ustaz dan ustazah pening memikirkan jalan penyelesaian yang terbaik untuk keluar dari tampuk masalah tersebut. Jadi, wahai nuqaba’ yang dikasihi sekalian, tunaikanlah tanggungjawab yang telah ditaklifkan ini sebaik yang mungkin. Ingatlah, tunaikanlah tugas kalian seikhlas yang mungkin kerana Allah akan menilai setiap apa yang kalian lakukan bukan apakah hasil yang kalian perolehi.

Teramatlah manis tatkala teringat zaman saya dan sahabat-sahabat seperjuangan lain menyertai program yang sama. Terdetik di hati, ” Cepatnya masa berlalu. Dulu aku yang duduk di tempat adik-adik duduk sekarang, tapi sekarang aku yang berdiri untuk berkongsi ilmu bersama mereka.” Indahnya aturan ALLAH…

Pertama sekali elemen yang sangat penting untuk menjadi seorang naqib atau naqibah ialah, individu tyersebut perlu faham apakah tanggungjawab mereka dalam usroh itu sendiri. Bukan sekadar berbangga dengan title ‘naqib’ atau ‘naqibah’ yang dipegang, tetapi perlu faham apakah sebenarnya yang kita perlu lakukan. Saya sendiri akui bahawa melakukan tugas tarbiyah ini bukanlah satu perkara yang mudah. Kita perlu bersedia dari segi mental dan fizikal.

Ingin saya kongsikan kata-kata Akh Syahir dalam ceramah yang disampaikan sewaktu program tersebut, “Untuk menjadi seorang naqib yang berjaya, kita perlu melakar startegi iaitu bersedia dari segi mental dan fizikal, spiritual, dan emosi. Seorang naqib juga perlu membuat rujukan dan cari kaedah yang terbaik dan berkesan dalam melaksanakan usroh, contohnya belanja makan, dudk bediskusi bersama dan banyak lagi. Sentiasa follow up ahli usroh dan yang paling penting untuk menarik minat ahli usroh, seorang naqib perlu mempelbagaikan method usroh.” Agak geli hati juga ketika menonton sketsa yang sempat dirakamkan oleh fasilitator muslimin (Akh Syahir,akh Luqman, akh Taufiq dan sahabat ana sendiri, Abdul Rahman). Tetapi dalam pada gelak-gelak melihat telatah ahli-ahli usroh yang pelbagai itu, terselit input-inputyang bermanfaat yang boleh diambil oleh semua yang menonton sketsa tersebut. Mahu tidak mahu, memang itulah realiti yang terjadi di luar. Rata-rata ramai yang menganggap usroh ini satu perkara yang membosankan. Mereka meletakkan satu persepsi negatif bahawa usroh ini adalah satu sesi untuk duduk dalam halaqah (bulatan), buka buku syllabus, dan naqib sahaja yang boleh bersuara.Teringat kata-kata seorang ahli usroh saya sewaktu program tersebut, “Diaorang ni lagi suka kalau tak ada usroh. Yelah, dengar je kalau ada announcement bagitau usroh batal, punyalah ramai bersorak.” Serentak semua ahli usroh saya yang lain ketawa sambil mengiakan apa yang Jannah katakan. Tapi memang itulah hakikatnya. Jadi, bangkitlah wahai nuqaba’, ubah mentaliti negatif mereka!

Para nuqaba’ yang dirahmati ALLAH, sedarlah usroh itu sebenarnya bermula dengan tasbih kafarah dan surah Al-Asr dan berakhir dengan surah Al- Fatihah. Ini bermakna usroh itu bukanlah satu perkara yang formal. Usroh boleh dilakukan dengan makan-makan, borak-borak (yang bermanfaat ye, bukan yang lagha ;) ) dan boleh juga dipelbagaikan mengikut kreativiti naqib itu sendiri. Nak dipendekkan cerita, untuk menimbulkan minat seseorang ahli usroh pada usroh yang kita bawa, adalah bermula pada diri kita sendiri. Kita perlu kerja keras sedikit untuk mencari bahan-bahan yang menarik untuk dikongsi bersama ataupun memerlukan kita untuk mengeluarkan sedikit perbelanjaan untuk belanja ahli usroh kita. Anggaplah itu hanyalah satu pengorbanan yang teramat kecil dalam menjayakan proses tarbiyah ini. Satu TIPS yang mungkin boleh diguna pakai oleh nuqaba’ semua, apabila kita belanja ahli usroh kita makan, titipkanlah doa-doa yang dapat mengikat hati kita bersamanya. InsyaALLAH, kita akan dapat rasakan satu ruh ukhuwah yang sangat luar biasa! Selamat mencuba!!!

Ingin saya kongsikan bahawa hanya KEMANISAN yang kami rasai semasa berada dalam usroh yang dipimpin oleh K.Saadah. Sahabat-sahabat seusroh yang sangat dirindui, (Fatin, Aida, Najibah, Najihah, Aminah, Faezah, Liyana, ‘Afifah dan Sarah). Mungkin itulah yang K.Saadah lakukan. Walaupun usroh kami hanya di foodcourt, Jusco, tapi kami merasakan satu ruh ukhuwah yang sangat luar biasa. Kadangkala, bila lama kami tidak berusroh, masing-masing akan mesej untuk menetapkan tarikh usroh yang sesuai, memandangkan kami semua sudah berada di IPT. Bagi saya sendiri, inilah usroh yang saya rasa berjaya sehingga ke hari ini. Suka dan duka kami kongsi bersama. Rahsia juga kami kongsi bersama. Kerana itulah perasaan percaya satu sama lain sangat penting kerana apabila lahir perasaan itu, barulah lahirnya sebuah keluarga yang bahagia.

Apa yang saya katakan ini bukanlah nak menunjukkan bahawa usroh saya berjaya seperti apa yang saya ceritakan di atas, tapi jauh di sudut hati saya, ingin melihat bahawa usroh ini menjadi satu wadah tarbiyah yang terbaik untuk semua pelajar terutamanya di sekolah-sekolah. Dengan usrohlah pelajar-pelajar dapat berkongsi ilmu dan maklumat yang sudah tentunya bermanfaat. Tambahan lagi, usroh juga adalah satu medan untuk kita memperbaiki kelemahan diri kita yang kadang kala kita tidak sedar akan kesalahan yang kita buat tetapi dengan adanya sahabat-sahabat seusroh yang mempunyai rasa kasih dan sayang pada kita, secara tidak langsung mereka akan menasihati kita ke arah kebaikan.

Di sini juga saya sesekali tidak mengenepikan prioriti ‘usroh darah daging’ iaitu keluarga sendiri kerana untuk melahirkan usroh luaran yang mantap, mahabbah yang kukuh perlu dibina dalam kalangan ahli keluarga yang terdekat dahulu. Saya amat yakin dan percaya bahawa pembaca semua mengimpikan sebuah baitul muslim yang bahagia bukan? Cuba kita bayangkan kita mempunyai sebuah baitul muslim yang disuntik dengan fikrah Islam, sudah tentu kita akan hidup dalam biah Islam yang syumul. Dan insyaAllah, dengan izin-Nya dapat kita didik generasi-generasi penyambung wasilah yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W dengan didikan yang sempurna. Dengan cara ini, dapat memudahkan dan melancarkan lagi proses tarbiyah. Hendak atau tidak proses tarbiyah itu perlu mengikut tahap-tahap yang telah digariskan iaitu hendaklah bermula dengan fardhul muslim, kemudian bina pula baitul muslim, setelah itu barulah mudah untuk kita bina mujtama’ muslim. Dengan adanya masyarakat yang berfikrah Islam yang sebenar, akan mudahlah proses untuk mewujudkan sebuah daulah Islam. Dan akhirnya, matlamat yang ingin kita tuju bersama, iaitu khilafah Islamiah. Andai tercicir salah satu daripadanya, maka tidak akan sampailah kita pada matlamat yang kita ingini tadi.

Kepada adik-adik usroh yang disayangi dan dirindui, doa akak hanyalah satu. Semoga adik-adik sentiasa berada di bawah lindungan ALLAH sentiasa, dan diberikan kudrat serta kekuatan untuk meneruskan perjuangan yang mulia ini. Kepada Fatin, akak bangga dengan ruhuljadid yang ada pada diri Fatin. Harapan akak semoga ruhuljadid itu sentiasa segar dalam diri Fatin. Buat Latifah, semoga tabah dan kuat menghadapi segala ujian dan mehnah dalam jalan juang ini. Buat Jannah, bantulah sahabat-sahabat lain untuk melaksanakan amanah Allah ini. Kongsikan segala apa yang Jannah dah buat dalam usroh dengan sahabat. Buat Ain, jangan jemu untuk memberi semangat dan sorongan kepada sahabat-sahabat lain. Semoga dengan semangat yang disuntik dapat memberi ruhuljadid seperti apa yang Fatin dapat dari adik-adik. Kepada Mawaddah, gunakanlah segala kelebihan yang Mawaddah ada untuk bantu kerja-kerja da’wah sahabat-sahabat seperjuangan. Buat Salina, jangan rasa down walaupun ada masalah dalam usroh Salina. Yakinlah, sahabat-sahabat lain sentiasa ada di belakang untuk beri sokongan dan semangat. Buat Syakirah, Berusahalah semaksima mungkin untuk capai apa yang Syakirah mahukan. Buatlah perubahan yang dapat melicinkan lagi usroh adik-adik semua.

“Allahumma ya muqallibal qulub thabbit qulubana ‘ala dinik wa ‘ala tho’atik….”

Semoga Allah memberkati segala apa yang kita kerjakan. Semuanya kerana ALLAH, insyaALLAH…..


No comments:

Post a Comment

Followers