*~Jiilul Quran~*

Tuesday, March 3, 2009

~::Kembalikan Semangatku::~

Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkannya hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji?

Dan sungguh, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta. (Al-Ankabut: 2-3)

“Along, dah pg masjid ke? nak pg same2 blh?” Itulah mesej yang saya terima dari seorang insan yang bernama sahabat, Zuhaira. Memang dah lama sangat tak duduk makan, berborak sekali dengan Zu, atas kesibukan kerja. Rindu yang teramat sangat. Saya pun memang niat nak pergi sekali dengan Zu. Indahnya dapat hadir ke majlis ilmu yang saya kira insyaALLAH dapat memberi banyak ilmu baru berkenaan aqidah salafiah wahabiah. Jangan salah tafsirkan maksud kata-kata saya tadi. Maksud saya penting untuk mendalami ilmu sebegini supaya kita dapat berjaga-jaga agar aqidah kita yang satu sentiasa terpelihara. Sewaktu baru nak memulakan bicara dengan Zu, tiba-tiba tertera ‘Luvly Mom’ di skrin telefon saya. Dengan excitednya saya menjawab panggilan mak. Soalan biasa yang akan saya tanya, biasalah, “mak abah sihat?”. Memang saya tak dapat meneka apakah tujuan mak menelefon saya waktu itu. Agak lama mak diam tanpa berkata apa-apa. Saya dapat rasakan sesuatu yang tak kena. Tiba-tiba mak bersuara dengan suara yang agak tinggi. Bagi saya bukanlah marah, tapi tegas. Mak memulakan bicara dengan kata-katanya “mak nak pesan ni…”

“Nurul jangan lagi keluar sorang-sorang. Tau tak bahaya? Awak tu perempuan. Lagi-lagi sekarang ni banyak berita-berita tak elok. Mak tak nak cakap, kalau mak cakap, itu doa mak untuk Nurul. Tapi mak cakap ni bukan mak nak doakan yang tak baik, tapi nak bagi Nurul hati-hati. Kan mak dah banyak kali nasihat, jangan keluar sorang-sorang, tapi mak nasihat elok-elok, Nurul tak nak dengar”. Masya ALLAH, saya hanya mampu mendengar kata-kata mak. Setitis demi setitis air mata ni mengalir. Dalam hati ini, “Ya ALLAH mcm mane aku nak terangkan dekat mak ni… Dua minggu lepas saya pergi Seremban untuk menghadiri satu program bersama adik-adik SHAMS. Sewaktu pulang dari program tersebut, memang saya sorang-sorang dari Seremban. Sahabat-sahabat lain masing-masing tak dapat pulang sekali, disebabkan ada kerja-kerja yang perlu diselesaikan. Sewaktu berada dalam train, tiba-tiba B.Pis telefon. Rupa-rupanya B.Pis nak datang UIA nak hantar duit. Tapi waktu itu saya masih lagi di Seremban. Jadi saya pun minta B.Pis jemput saya di KTM Nilai. Lebih kurang jam 6.00 petang baru saya sampai di Nilai. Dan tak berapa lama lepas tu, B.Pis sampai. B.Pis dan K.Pae terkejut sangat bila dengar saya beritahu saya sorang-sorang dari Seremban. B.Pis agak marah juga, yelah, dah senja macam tu, balik sorang-sorang. Macam-macam benda boleh jadi. Bila mak abah tau je perkara tu, setiap kali mak abah telefon, mesti akan bagi pesanan terakhir sebelum letak telefon,” ingat, jangan keluar sorang-sorang lagi”.

“Mak teruskan lagi kata-kata.” Sejak B.Pis cerita dekat mak hari tu, mak tak senang duduk, asyik fikirkan Nurul je. Mak abah risau, Nurul tau tak? Dua tiga hari ni mak tak dapat tidur fikirkan benda ni. Nurul senang hati je keluar sana sini”. Ya ALLAH, mak… Kenapa mak fikir macam ni? Saya mencelah, ” Ya ALLAH, mak.. Nurul pergi Seremban bukan suka-suka, mak. Nurul turun sekolah, tolong adik-adik SHAMS. Mak tak percayakan Nurul lagi ke? Nurul buat benda baik mak, bukan buat benda bukan-bukan”. Saya dah tak mampu nak teruskan lagi kata-kata. Air mata ni mencurah-curah turun.

Hati saya ni bertambah serba salah bila dengar tangisan seorang ibu, walaupun tak nampak di mata, tapi dengar tangisan je dah cukup membuatkan saya rasa berdosa pada dua insan yang saya sayangi ni. Mak sambung lagi.”Mak tau Nurul pergi buat kerja untuk Islam. Mak bukan marah buat kerja tu, tapi sorang-sorang tu yang mak tak bagi. Bahaya, Nurul… Tapi kalau Nurul degil juga, buat lagi lepas ni, kalau jadi apa-apa, mak tak nak tanggung. Tolongla Nurul, dengar cakap mak abah sementara mak abah masih hidup ni. Mak abah sayang Nurul, sebab tu mak pesan ni. Nurul tau tak dalam ramai-ramai anak yang mak ada ni, mak anggap Nurul anak yang paling baik. Banyak kongsi ilmu dengan mak abah, adik beradik lain. Kalau andai kata jadi benda yang tak baik dekat Nurul, mana lagi anak yang mak nak harapkan? Ya Allah, tersentuh hati saya mendengar pengakuan mak. Saya sedar sekarang, apa yang mak cakapkan dari awal tadi, bukanlah membuta tuli tanpa sebab tapi kerana sayang. Memang setiap apa yang mak katakan tadi membuatkan hati saya sedih sangat, sampai saya rasa dah hilang semangat untuk teruskan kerja-kerja Islam macam apa yang saya lakukan sebelum ini. Saya rasa saya hilang segala semangat dan kekuatan yang pernah ALLAH pinjamkan sebelum ini. Ya ALLAH, bantulah hambamu yang hina dan lemah ini, ya ALLAH….

Secara jujur saya katakan, selama mana saya hidup di dunia ini, inilah pengakuan tulus yang saya terima dari seorang insan bergelar mak. Mak, terima kasih mak…. Walau macam mana sekalipun, masih ada sesuatu yang masih terbuku dalam hati ni. Bukan perasaan marah atau kecil hati, tapi masih tersimpan lagi hasrat untuk menerangkan segala-galanya yang mak dan abah masih tidak faham tentang apa yang saya lakukan sekarang. Bagi saya ini amat penting, kerana selagi mana mak dan abah tidak jelas dengan tanggungjawab yang dipikul oleh anak bongsu mereka ini, selagi itulah saya akan berhadapan dengan masalah untuk keluar rumah, keluar dengan tujuan yang satu, untuk membantu agama ALLAH, insyaALLAH. Di sini saya tidak menafikan bahawa sebagai seorang anak, walaupun dalam menggerakkan gerak kerja Islam, ibu bapa memang ada hak untuk mengetahui setiap perlakuan anak-anak mereka. Saya juga tidak pernah menafikan hak mak dan abah untuk tahu apa yang saya buat. Cuma mungkin dengan apa yang telah terjadi ini, memberi saya pengajaran yang amat bermakna supaya beri keutamaan yang seimbang terhadap keluarga dan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

Teringat saya kata-kata Akh Syahir sewaktu meeting di SHAMS,” Kalau kita perlu laksanakan dua kerja dalam satu masa, pilihlah kerja yang andai kata ditakdirkan ALLAH kita mati waktu buat kerja tu, kita akan syahid di jalan ALLAH”. Dan alhamdulillah, kata-kata itulah yang menjadi prinsip hidup saya dalam menjalankan kerja da’wah ini. Teringat juga kata-kata Akh Syahir ketika berusroh di SHAMS dulu, “Ana tak ada kereta nak bergerak ke sana ke sini untuk buat kerja ni, ana ada motor je. Tapi ana niatkan setiap kali ana pulas handle motor ni semuanya kerana ALLAH. Semoga ALLAH terima apa yang ana kerjakan ni”. MasyaALLAH, tingginya tadhiyah Akh Syahir. Mampukah saya juga tanamkan semangat yang begitu tinggi dalam diri ini, ya ALLAH??? Tapi, sejak dari hari tu, setiap apa jua yang saya lakukan, saya hanya berserah pada ALLAH. Apa yang ALLAH nak takdirkan untuk saya, saya redha. Sebab itulah kalau saya keluar sorang-sorang pun, saya cuba untuk buang perasaan takut. Bukan bermakna saya tak berhati-hati, tak jaga diri dengan baik. Tapi, selebihnya saya hanya tawakkal pada ALLAH, untuk menentukan yang terbaik untuk diri hamba-Nya ini.

Kepada mak dan abah….Terima kasih yang tak terhingga kerana mendidik anakmu ini sehingga berjaya sampai ke hari ini. Syukur ke hadrat ALLAH juga kerana mak dan abah telah mendidik kami dengan didikan agama yang sempurna. Walaubagaimanapun, Nurul mohon ampun dan maaf atas segala tingkah laku Nurul yang membuatkan mak abah tak senang hati, terguris, terluka dan sebagainya. Nurul akui, Nurul belum mampu jadi anak yang terbaik untuk mak dan abah. Tapi apa yang Nurul buat sekarang ni, hanyalah satu niat Nurul, supaya mak dan abah juga dapat merasai manfaatnya dunia dan akhirat. Mak, abah… Doakan anakmu ini menjadi anak yang solehah dan mujahidah fiddin….

“Ya ALLAH, sesungguhnya hamba-Mu ini sering lalai dan leka. Engkau ingatkanlah daku dengan peringatan-peringatan yang baik, agar hamba-Mu ini dapat memperbaiki segala kelemahan dan kekurangan demi menjadi seorang insan bergelar mu’min yang sejati….”

No comments:

Post a Comment

Followers