*~Jiilul Quran~*

Tuesday, March 3, 2009

~::Nukilanku::~

Alhamdulillah, akhirnya terhasil juga blog yang ditunggu-tunggu kemunculannya selama ini. Setelah berhadapan dengan pelbagai rintangan dan halangan untuk menyiapkan blog ini, alhamdulillah, tercapai juga hasrat untuk menulis di blog sendiri. Blog yang dibina ini bukanlah atas tujuan atau disebabkan kami sebagai ahli assoff telah dipertanggunjawabkan dengan satu task yang kami kira pada mulanya agak berat. Tetapi atas dasar minat yang lahir setelah ‘menggodam’ blog-blog sahabat yang mana mereka telah lama menapak di tapak blog sendiri. Teringat pada kata-kata seorang sahabat assoff, akmal hakim, “tengok, tengok juga blog orang lain, tapi kita kena mulakan menulis di atas blog sendiri. Kita akan rasa kepuasan dan kelainan apabila menulis dan apabila melihat hasilnya nanti.

Benarlah kata-kata hakim tadi. Sebenarnya menulis coretan hidup kita di atas blog sendiri cukup memberi kepuasan dan kelainan yang tersendiri. Selain itu, kita juga dapat mengasah bakat penulisan kita yang mungkin selama ini terpendam tanpa ada sesiapa mencungkilnya. Kita mahu tunggu siapa lagi untuk mencungkilnya, kalau bukan diri kita sendiri? Walaupun kita tidak mampu menjadi seorang penulis sehebat Faisal Tehrani, Zaid Akhtar tetapi sekurang-kurangnya kita dapat berkongsi pengalaman dan ilmu sedikit sebanyak dengan sahabat-sahabat seperjuangan khususnya, dan masyarakat luar umumnya, insyaALLAH. Itulah harapan dan matlamat yang ingin saya gapai apabila mula menulis blog ini.

Untuk memulakan penulisan, saya yakin dan percaya bahawa pembacaan adalah satu proses yang banyak membantu kita untuk lebih ‘mantop’(bak kata kata Ustaz Zamri,Mari Mengaji) dalam penulisan. Oleh itu, marilah kita perbanyakkan bacaan dalam bentuk ilmiah supaya sedikit sebanyak dapat membantu kita mengorak langkah untuk menjadi seorang penulis yang berjaya, sekurang-kurangnya kepada diri sendiri terlebih dahulu.

Kepada sahabat-sahabiah seperjuangan yang bergerak dalam assoff, marilah kita sama-sama menjayakan task yang sudah sekian lama diberikan ini dengan berperingkat-peringkat. Saya akui, untuk menghasilkan tapak blog sendiri bukanlah satu perkara yang mudah. Tapi yakin dan percayalah, semuanya atas kemahuan sendiri. Bak kata pepatah, “Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan”. Rasailah keunikan dengan menulis!

"Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan"

"Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan"

Di samping kita memperjuangkan Islam, kita juga patut mengikut peredaran zaman teknologi yang serba canggih. Semuanya di hujung jari anda…Ehh, macam tagline iklan pulak. Kita kena buktikan kepada masyarakat luar sana, bahawa orang yang bertudung labuh, berkopiah bukan hanya mementingkan amal ibadat sahaja. Kita buktikan kepada dunia bahawa golongan sebeginilah yang akan menerajui tampuk pimpinan suatu hari nanti, bukan hanya kerana kepimpinan yang ada, malah kerana kepakaran yang pelbagai yang ada dalam diri kita.

Sebagai permulaannya, kita bekalkan diri kita dengan ilmu multimedia terlebih dahulu, sebagai contoh, dengan menulis blog ini, secara tidak langsung, kita dapat menyampaikan da’wah melalui penulisan yang ‘mesra pembaca’ iaitu yang boleh di fahami dan dihayati oleh semua lapisan pembaca. Dan akhirnya nanti, kita akan dapat melihat impak yang besar yang mungkin tidak pernah kita sangka sebelum ini. Cakap banyak pun tak guna juga, seperti dalam perjuangan juga, apa yang dilihat bukanlah sekadar teori tetapi yang diukur ialah praktikalnya. Apa kata kita sama-sama cuba dan rasai sendiri.

SELAMAT MENULIS!

No comments:

Post a Comment

Followers